Di saat DAP dilihat agak ‘berlembut’ apabila sudi menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai tanda solidariti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bersama UPKO dan Amanah, PKR pula dilihat mengambil tindakan sebaliknya.
Difahamkan mereka terus berkeras untuk bertanding menggunakan logo PKR.
Malah, solidariti parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut tidak jelas kelihatan apabila tiada penyokong PKR yang hadir ketika majlis pengumuman calon Warisan dibuat hari ini.
Bagaimanapun, terdapat ahli parti tersebut yang hadir tanpa mengenakan pakaian korporat PKR, antaranya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Christina Liew dan Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari.
Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dalam majlis berkenaan mengumumkan 46 calon Warisan yang kebanyakannya adalah muka baharu, sementara UPKO pula meletakkan 12 calon pada PRN kali ini.
Bagi PKR pula yang sebelum ini mengumumkan akan bertanding di 14 kerusi DUN pada PRN Sabah Ke-16, bagaimanapun hanya diberikan 7 kerusi DUN kepada parti itu.
Sementara DAP pula akan bertanding di 7 kerusi juga.
Manakala Amanah 1 kerusi.
Shafie berkata, jumlah itu adalah munasabah berdasarkan persetujuan bersama gabungan Warisan Plus yang terdiri daripada PKR, UPKO, DAP dan Amanah.
Keputusan itu diumumkan semasa Majlis Pelancaran Visi dan Misi Warisan Plus dan Pengumuman Calon Warisan Plus pada PRN DUN Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu hari ini.
Mohd. Shafie menyifatkan, keputusan pengumuman itu bukan sesuatu yang mudah kerana beliau berdepan pelbagai cabaran dalam menentukan calon yang layak untuk bertanding pada PRN DUN nanti.
“Saya sudah lihat dan baca setiap maklumat calon bermula dari aspek pendidikan dan kesihatan mereka. Saya sudah boleh nampak gambarannya.
Dalam senarai calon yang dikemukakan, beberapa pimpinan lama ditampilkan semula menjadi calon, antaranya Datuk Darrel Leiking, Datuk Mohammadin Ketapi, Datuk Peter Anthony dan Datuk Dr. Jaujan Sambakong.
Namun nama Ketua Wira Warisan, Datuk Azis Jamman turut menjadi perhatian apabila namanya tidak dicalonkan untuk bertanding pada PRN kali ini.
Discussion about this post