Kegagalan memahami kehendak penduduk setempat mungkin punca utama kegagalan mantan wakil rakyat DUN Machap Jaya dari PH, Ginie Lim menyelesaikan masalah rakyat selama ini.
Antara masalah yang gagal diselesaikan termasuk membuka peluang kepada anak tempatan untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam, memberikan perkhidmatan bas percuma dan menyelesaikan isu tanah Felda kepada generasi kedua peneroka, secara langsung menjejaskan peluang penduduk Machap untuk menikmati hidup yang lebih selesa dan menaikkan taraf kehidupan mereka.
Menyedari keluh kesah dan kekecewaan penduduk di DUN itu, calon BN, Ngwe Hee Sem, menawarkan diri sebagai calon pada PRN Melaka 2021 bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.
Antara perkara paling utama bagi Ngwe Hee Sem adalah dalam membangunkan ekonomi penduduk, dan perkara itu boleh dicapai dengan membangunkan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) di Machap Jaya dengan cara yang lebih tersusun.
Di samping itu, Ngwe Hee Sem turut berazam untuk menambah baik usaha Pemuda UMNO yang memberikan tuisyen secara percuma kepada pelajar di kawasan tersebut.
Program tersebut yang boleh diadakan secara dalam talian, secara tidak langsung boleh dibuka kepada semua pelajar di Melaka dan mungkin juga di seluruh Malaysia.
Mengenai isu pemberian tanah kepada generasi kedua Felda pula, Ngwe Hee Sem mengakui isu ini perlu diselesaikan dengan segera.
Menurut beliau, pentadbiran Ginie Lim gagal menyelesaikan masalah ini seperti yang dijanjikan kerana PH sama ada tidak faham atau tidak mahu mengikuti cara yang sepatutnya.
Ngwe Hee Sem berjanji, sekiranya diberikan mandat, beliau akan membawa masalah ini ke Dewan Undangan Negeri Melaka supaya isu ini dapat diselesaikan sesegera mungkin.
Discussion about this post