Bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan isu dua diplomat yang gagal menguruskan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob ke Dubai, seharusnya yang perlu dipertanggungjawabkan adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
“Ini memalukan negara dan menteri harus bertanggungjawab terhadap kekurangan di kementeriannya, beliau harus mempertahankan pegawainya,” kata Anifah dalam satu kenyataan media.
Anifah yang tidak bersetuju dengan keputusan memanggil pulang dua diplomat tersebut sebenarnya mengharapkan agar ada siasatan dalaman yang dilakukan terlebih dahulu.
Meskipun Wisma Putra sudah menjelaskan tindakan itu kerana kegagalan mereka menyelaraskan pengurusan dan logistik, pada beliau keputusan yang dilakukan itu adalah keputusan yang tergesa-gesa.
“Saya berasa curiga bagaimana diplomat kanan dan berpengalaman boleh terlepas pandang maklumat penting terutama jika membabitkan hal ehwal perdana menteri,” ujarnya yang turut mengakui akan sentiasa berada dilapangan lebih awal bagi memastikan segala persediaan berjalan lancar sewaktu bertugas dahulu.
Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri (KLN) telah memanggil Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid selepas kedua diplomat tersebut gagal menguruskan lawatan Ismail ke Dubai.
Kegagalan tersebut membuatkan Ismail terpaksa menunggu lebih lama di ruang ketibaan serta tiada liputan yang dilakukan.
Malah kawalan keselamatan dan pergerakkan mengikut amalan SOP juga yang sepatutnya disediakan untuk perdana menteri juga tiada.
“Lazimnya dalam apa keadaan sekalipun, sepertimana ketika perdana menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tamu, ketua perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk perdana menteri,” kata beliau.
Anifah juga memberitahu mengenai kegagalan dua diplomat tersebut untuk memaklumkan mengenai penganjuran World Government Summit (WGS) yang diadakan dalam Kawasan Ekspo Dubai kepada KLN di Putrajaya.
Beliau menyatakan bahawa pemimpin tertinggi KLN hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac daripada sumber lain.
“Sekiranya perkara ini dimaklumkan lebih awal, usaha pastinya dibuat supaya perdana menteri menyampaikan ucapan pada program berkenaan,” tambahnya lagi.
Discussion about this post