KUALA LUMPUR: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak menolak kemungkinan kerajaan akan memberi imbuhan atau ganjaran ‘istimewa’ kepada atlet yang berjaya menyumbang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo.
Menteri Belia dan Sukan berkata ia berdasarkan kepada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyempurnakan majlis Lambaian Juara Demi Malaysia di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Katanya, ganjaran istimewa itu mungkin tidak membabitkan imbuhan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) seperti diterima beberapa atlet yang berjaya menyumbang pingat kepada negara sebelum ini.
“Sejak Olimpik 2012, skim hadiah kemenangan sukan atau SHAKAM ditingkatkan nilainya dengan pemenang pingat emas Olimpik dan Paralimpik yang asalnya RM300,000 (naik) kepada RM1 juta dan imbuhan itu masih lagi kekal.
“Jumlah ganjaran RM1 juta untuk pingat emas, RM300,000 bagi perak, dan gangsa RM100,000. Setakat ini 13 atlet Olimpik sudah menikmati SHAKAM.
“Namun tuan puan pun dengar ketika Perdana Menteri datang untuk sempurnakan Lambaian Juara Demi Malaysia baru baru ini. Beliau mengungkapkan, kalau siapa yang menang pingat emas, kerajaan akan menyediakan ganjaran tertentu yang istimewa atau ganjaran khas.
“Saya tidak boleh komen lanjut mengenai ini kerana ia diumumkan oleh Perdana Menteri dan saya yakin itu adalah semangat dan hasrat Perdana Menteri ingin memberi ganjaran atas perjuangan atlet,” katanya pada sidang media secara maya selepas mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Reezal berkata penaja MSN, FWD Takaful Berhad akan memberikan insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo.
“Terima kasih kepada FWD Takaful Berhad kerana melanjutkan penajaan berbentuk wang tunai dengan jumlah RM5 juta keseluruhan bagi tahun 2020 dan 2021 kepada MSN termasuk membantu persediaan atlet para ke Paralimpik Tokyo 2020 dan kejohanan lain.
“FWD Takaful Berhad akan bagi insentif tambahan kepada atlet yang berjaya meraih pingat di temasya Sukan Paralimpik nanti. Bagi pemenang pingat emas FWD Takaful Berhad akan memberi sebanyak RM100,000 manakala RM50,000 kepada pemenang perak dan RM30,000 untuk pemenang pingat gangsa.
“FWD Takaful Berhad juga mempertimbangkan bagi memanjangkan insentif sama kepada jurulatih. Terima kasih kepada FWD dengan penajaan ini yang menjadi suntikan semangat untuk mereka berjuang di Tokyo nanti,” katanya.
Discussion about this post