Tidak semua ibu bapa mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan amat memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau memahami keadaan sesetengah keluarga terutama yang mempunyai anak ramai setiap kali tiba musim awal persekelohan berdepan dengan masalah kewangan.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan kelulusan pengeluaran wang KWSP dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akhir bulan April sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.
“Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu mungkin sebahagian ibu bapa dan penjaga masih berdepan dengan tekanan kewangan.
“Kepada yang layak mengeluarkan wang KWSP pasti akan sangat membantu mereka termasuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
“Begitu juga dengan Pembayaran fasa satu Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan diagihkan secara berperingkat mulai 28 Mac ini.
“Gunakanlah bantuan tunai kepada rakyat yang telah bermula sejak tahun 2012 itu sebaik mungkin terutama untuk masa depan anak-anak kita,” katanya menerusi posting terbaru di Facebooknya.
Ahmad Zahid juga melahirkan harapannya kepada semua kanak-kanak yang kembali memulakan persekolahan untuk menimba ilmu sebaiknya demi masa depan dan pada masa sama dapat beri kebanggaan kepada ibu bapa.
“Rasanya belum terlewat untuk mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada anak-anak kita yang bersekolah rendah. Begitu juga kepada anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan semoga sekolah menjadi tempat yang menyeronokkan.
“Belajarlah dengan bersungguh-sungguh dan sentiasalah mendengar kata serta nasihat guru. Ambillah segala ilmu yang guru curahkan kepada kita.
“Banggakan ibu dan ayah yang mahu melihat kejayaan kita. Jangan terlalu nakal-nakal nanti guru marah sebab mereka sayangkan kita.” katanya.
Zahid juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ibu bapa kerana berusaha sedaya upaya untuk berikan yang terbaik kepada anak-anak mereka.
“Kepada ibu bapa dan para penjaga terima kasih di atas pengorbanan dan kesungguhan anda semua demi pendidikan anak-anak kita,” ujarnya.
Discussion about this post