Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata tekanan yang dihadapi oleh UMNO samada dari pihak luar yang ingin menjatuhkan ataupun dari ahli yang meninggalkan parti tidak menjadikan alasan untuk UMNO berputus asa daripada meneruskan perjuangan mereka.
“Bukan sahaja perbezaan dan perbalahan dalaman yang hampir melumpuhkan parti, tetapi juga tekanan politik dari luar parti yang ingin menghancurkan kami,” kata Najib menerusi posting di Facebooknya.
Najib mengeluarkan kenyataan tersebut bersempena dengan sambutan Hari UMNO yang ke-76 tahun hari ini.
Katanya lagi, sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), menyaksikan ramai ahli UMNO yang memilih untuk meninggalkan parti setelah parti tersebut tewas dengan Pakatan Harapan (PH).
“Ada yang memilih keselesaan, meninggalkan kami berduyun-duyun. Yang tinggal, UMNO dengan ahli yang setia,” ujar Najib.
Najib berkata, UMNO tetap berpegang pada peranan mereka yang akan sentiasa menjaga rakyat walaupun berada dalam situasi jatuh bangun.
“Di masa kami memimpin, kami meningkatkan taraf kebajikan rakyat, di masa kami jatuh, kami bersuara membela rakyat,” tegas Najib lagi.
Discussion about this post