Calon barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib bertekad untuk merampas semula kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Walaupun pertama kali ‘bertarung’ dalam pilihan raya, beliau yang mesra dipanggil ‘Haji Baha’ tidak kekok untuk bertemu masyarakat dan pengundi.
Ini kerana beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang bukan sahaja sudah dikenali, malah sejak dahulu sentiasa menyantuni dan membantu masyarakat di bahagian berkenaan.
Menyedari misi untuk merampas semula DUN Permas yang sebelum ini dimenangi Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan mudah, namun Baharudin sentiasa berusaha gigih dan yakin mampu menggalas Amanah yang diberikan.
“Berdasarkan sambutan daripada masyarakat dan dengan usaha gigih semua jentera, Insya-Allah kita mampu menawan semula DUN Permas.
“Saya dengan rasa rendah diri memohon sokongan daripada masyarakat, khususnya pengundi Permas untuk memberi peluang kepada BN. Insya-Allah BN akan menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik,” katanya.
Selain Baharudin, DUN Permas ditandingi Mahaya Ahad (Pejuang), Mohamed Ridza Busu (Warisan), Tazul Arifin Nasri (PN) dan Syed Othman Abdullah (PH) pada PRN Johor.
Discussion about this post