Hanya Datuk Ir. Hasni Mohammad calon Menteri Besar Johor jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, hanya nama Hasni yang dicalonkan untuk memegang jawatan tersebut sekiranya BN terus diberi kepercayaan oleh rakyat Johor.
Penegasan itu sekaligus menafikan dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa BN akan melantik calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi sebagai calon Menteri Besar.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyifatkan kenyataan itu hanya helah untuk melaga-lagakan beliau dengan pemimpin UMNO di negeri ini.
“Kononnya ada seorang ketua penerangan sebuah parti yang tiada masa depan mengatakan saya memberi dokongan kepada calon DUN Rengit untuk jadi Menteri Besar (MB), orang itu mimpi ke apa ni?
“Saya umum bahawa ‘poster boy’ kita, calon MB kita atas perkenan Tuanku (Sultan Ibrahim Sultan Ismail) adalah Datuk Seri Hasni Mohammad. Tidak ada lain, apa yang kita cakap itulah yang kita akan buat.
“Kita tahu bahawa kuasa melantik MB itu di bawah kuasa Tuanku tetapi jangan lagakan saya kononnya saya mahukan Mohd. Puad. Lagakan saya kononnya saya nak orang itu nak orang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ramah mesra bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di Bilik Gerakan Parlimen Iskandar Puteri, Gelang Patah, hari ini.
Turut hadir ialah calon kerusi DUN Skudai, Lim Soon Hai dan calon kerusi DUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad.
Discussion about this post