Majlis Sosial Negara (MSN) ditubuhkan sebagai jentera pelaksana Dasar Sosial Negara dan menjadi dasar payung melibatkan falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar ahli-ahli mesyuarat untuk menyelaras semula langkah pelaksanaan yang menyeluruh untuk mengelakkan pembaziran sumber.
“Dalam mesyuarat MSN, saya telah menyarankan ahli-ahli mesyuarat untuk satu penyelarasan semula langkah pelaksanaan dan implementasi secara menyeluruh agar dapat mengelakkan pertindihan fungsi, pembaziran sumber serta budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri.
“Isu pertama melibatkan masalah beban berganda malpemakanan merupakan satu isu sosial yang memerlukan gandingan Kerajaan, industri dan komuniti. Justeru, mesyuarat bersetuju untuk melakukan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan bagi mengukuhkan program memerangi masalah beban berganda malpemakanan kanak-kanak di Malaysia,” kata Zahid menerusi hantaran di Facebook.
Selain itu, MSN akan memperketatkan peraturan untuk Taska, Tabika, Pusat Jagaan agar mematuhi peraturan berkaitan tanpa kompromi melibatkan kurikulum, silibus, keselamatan serta kesihatan bagi menghapuskan isu kecuaian, pengabaian serta penderaan bayi dan kanak-kanak oleh pengasuh yang kerap berlaku.
Dalam mesyuarat tersebut juga menekankan isu ketiga iaitu bilangan kes golongan papa yang diselamatkan semasa operasi semakin meningkat berbanding dengan bila kes mereka yang berdikari selepas diselamatkan.
“Mesyuarat bersetuju untuk menilai semula mekanisme pengoperasian dan hala tuju dalam menangani isu gelandangan supaya kesejahteraan hidup dapat ditingkatkan.
“Saya berharap melalui Majlis Sosial Negara, isu-isu sosial dapat dibincangkan dalam platform ini secara aktif dan berkesan serta dapat diperluas untuk dilibatkan semua agensi Kerajaan, ahli akademik, NGO bagi menangani masalah sosial ke arah pembangunan sosial negara yang lebih sejahtera,” tambah Zahid lagi.
Discussion about this post