Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok berkata beliau telah menjangkakan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan ambil kredit atas isu berkenaan tol baru-baru ini.
Hal demikian berikutan kerajaan mengumumkan akan meneruskan dasar kawalan kadar tol di empat lebuh raya dan tidak akan menaikkan kadar tol sehinggalah tempoh konsesi keempat-empat lebuh raya tersebut berakhir.
Namun, sejurus itu Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pula mengeluarkan kenyataan bahawa pengurangan kadar tol adalah kesinambungan usaha PH yang dibuat sewaktu pemerintahannya.
“Dalam kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), mereka mendakwa pengurangan kadar tol itu adalah kesinambungan usaha PH yang dibuat sewaktu pemerintahannya.
“Malah, tambah PH, mereka sudah pun merancang untuk memberi diskaun 30 peratus dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya terbabit,” katanya kepada MCA Online.
Antara lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).
“Seperti yang dijangka, PH akan menggunakan isu ini untuk ambil kredit, seolah-olah merekalah yang terbaik,”
Tambah beliau, realitinya adalah PH gagal menunaikan janji mereka kepada rakyat untuk menghapuskan tol.
“Semasa PH berkuasa, konsesi tol yang sepatutnya berakhir pada 2038 dilanjutkan sehingga tahun 2058 dan rakyat terpaksa meneruskan pembayaran tol. Kalau konsesi sudah tamat tahun 2038, buat apa hendak bayar tol lagi 20 tahun sehingga 2058,” soalnya.
Dalam pada itu, Chin Kok berkata ketika pemerintahan PH, banyak sekali inisiatif BN yang dikorbankan hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik.
“PH dilihat bersungguh-sungguh ‘membalas dendam’ terhadap BN sehinggakan program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang pernah dilabel sebagai ‘dedak’, turut menjadi mangsa apabila ia ditukar nama kepada Bantuan Sara Hidup.
“Begitu juga dengan projek-projek mega atau projek infrarakyat yang ditangguhkan dan dibatalkan PH sehingga kerajaan terpaksa membayar denda atau penalti.
“Namun, bagi BN, apa sahaja dasar yang baik, biarpun dasar tersebut dimulakan sewaktu PH, kerajaan tetap memastikan kelangsungan dasar tersebut asalkan ia memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Discussion about this post