Hari ini rakyat Johor bakal menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.
Dan buat pertama kali dalam sejarah, menyaksikan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi mula dibuka tepat jam 8 pagi tadi, bagi membolehkan 2 juta 539 ribu 606 pengundi biasa daripada 2 juta 597 ribu 742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.
Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia merangkumi parti Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Pakatan Harapan (PH) bersama parti komponennya PKR yang bertanding atas logo sendiri serta rakan strategik gabungan itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Warisan Sabah (WARISAN); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PRN Johor hari ini, adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, membabitkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.
Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.
Discussion about this post