Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan segelintir pihak yang cuba mengeruhkan keadaan untuk berhenti membuat pelbagai spekulasi dan khabar angin.
Katanya melalui hantaran Facebook pagi tadi, jangan terlalu mengikut hati dan perasaan dengan menyerang itu dan ini.
“Nasihat saya tenang-tenang sahaja. Dalam hidup perlu bertenang. Jika kurang bertenang boleh “stress”. Kalau “stress” terjejas kesihatan,
“Bersamalah kita perbanyakkan bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” ujar beliau.
Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, andaian demi andaian sebagai senjata menyerang bukan pengubat stress namun hati yang tenang dan damai paling mujarab.
“Begitu jua saya menguruskan dalam sesuatu perkara. Insya-Allah dalam ketenangan ada hikmah dan bijaksana.
“Yang pasti UMNO tetap dipertahankan. Yang pasti UMNO terus bangkit. Yang pasti rakyat dan negara jadi keutamaan. Walau ditekan, dihenyak, dipalu, tiada sesalan demi UMNO. Demi sebuah perjuangan. Demi rakyat dan negara. Kepada Allah jualah kita berserah dan bertawakal.
Beliau juga mengingatkan agar memperbanyakkan beristighfar mengingati Allah SWT dan perbanyak selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW agar rakyat dan negara sentiasa dikasihi.
“Mak Cik Kiah dan Pak Saleh pun bertenang sahaja walau dapur lama kosong tidak berasap.
“Meskipun dalam hati mereka tiada siapa yang tahu. Hanya Yang Maha Esa lagi Maha Mengerti, Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani,” katanya.
Kata beliau, ini kerana sememangnya tanggungjawab parti keramat UMNO ini di dalam membela nasib rakyat.
Discussion about this post