Human Resource Development Corporation (HRD Corp.) dan Microsoft Malaysia komited melahirkan 300,000 pakar digital tempatan dalam tempoh tiga tahun bagi menggalakkan pertumbuhan tenaga kerja digital negara.
Memetik laporan portal Utusan Malaysia, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat mendokong usaha transformasi digital nasional yang dibawakan oleh Microsoft dan kerajaan dengan mengetengahkan tenaga kerja dalam bidang digital yang tepat untuk pelbagai keperluan industri dan perniagaan.
“Kerjasama awam-swasta yang menampilkan Microsoft, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), HRD Corp. serta para pemain sektor swasta tempatan yang terkemuka akan mengubah cara kita membangunkan masyarakat sekali gus ekonomi negara kita.
“Ini juga merupakan peluang bagi rakyat Malaysia untuk meningkat dan menambah kemahiran baru yang akan menjadikan mereka lebih ‘dipandang’ oleh majikan untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menerusi kerjasama ini, Microsoft akan berkongsi kandungan kemahiran digitalnya dengan HRD Corp., termasuk pengetahuan percuma yang mampu menghubungkan masyarakat dengan pekerjaan yang menerima paling banyak permintaan yang ditawarkan oleh LinkedIn, Microsoft dan GitHub sebagai sebahagian daripada inisiatif kemahiran global mereka.
Selain itu, Microsoft juga akan menyediakan kandungan industri berkenaan kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) serta transformasi digital untuk perniagaan manakala HRD Corp. akan memfokuskan pembangunan program latihan dan pensijilan melalui rangkaian platformnya yang komprehensif di samping mengenal pasti, menarik dan mendapatkan pelatih yang tepat.
Sementara itu, Pengarah Urusan Micrososft Malaysia, K. Raman berkata, ketika Malaysia menyasarkan masa depan yang mengutamakan digitalisasi, tenaga kerjanya perlu dilengkapkan dengan kemahiran yang relevan yang akan menjadikan mereka berdaya tahan dan berdaya saing.
“Disebabkan itu, Microsoft mengambil pendekatan bekerjasama dengan HRD Corp. serta pihak berkepentingan yang lain dalam sektor awam dan swasta. Ini sejajar dengan matlamat kami untuk memperkasakan setiap rakyat dan organisasi di Malaysia dalam ekonomi digital,” ujarnya
Discussion about this post