Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor mencerminkan kelangsungan masa depan negeri Johor untuk kembali membangun secara holistik, pentadbiran berintegriti dan memiliki hala tuju yang jelas buat anak muda Johor.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya memandang lima ikhtiar BN ini sebagai perancangan realistik yang boleh dicapai bagi memakmurkan Johor Darul Takzim.
Menurutnya, lima ikhtiar berkenaan juga bukan sekadar janji palsu “manifesto bukan kitab suci” mainan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dahulu.
“Misalnya, program “Rent to Own”, insentif RM1,000 bagi pasangan muda yang layak dan RM500 bagi anak muda mahasiswa dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) menunjukan BN benar-benar mendengar suara golongan muda.
“Malah, komitmen BN Johor yang cakna menyediakan skim 3,200 lot perumahan generasi baru FELDA yang bakal manfaatkan anak muda FELDA di Johor membuktikan bahawa kesinambungan kejayaan perjuangan FELDA bakal berterusan dibawah kestabilan kerajaan BN,” katanya
Syed Mohd Johan Rizal berkata, lebih menarik, Ikhtiar BN Johor ini menjanjikan pelan sokongan buat anak muda Johor yang memerlukan platform bersifat “futuristic” menerusi penawaran Geran Keusahawanan Orang Muda Johor dan Pelan infrastuktur Digitalisasi.
“Ini sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi negeri Johor yang lebih “sustainable” (mapan) dan berdaya saing di masa hadapan.
“Ia juga mampu memberikan kesan limpahan kemakmuran ekonomi bukan sahaja buat rakyat dan orang muda johor, malah negeri buat pemaustatin dari seluruh negara berteduh,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO percaya lima ikhtiar Johor dengan satu matlamat mampu membawa keyakinan buat pengundi Bangsa Johor di 56 Dewan Undangan Negeri untuk membuat pilihan yang tepat dengan bijak kali ini.
“Diharap dapat mengembalikan mandat pentadbiran negeri Johor kepada BN, demi kestabilan masa depan yang lebih terjamin, memacu Johor kembali ke persada negara.
“InshaAllah, Johor dan Bangsa Johor akan kembali gemilang bersama BN. Johor ini rumah kita,” katanya lagi.
Discussion about this post