Ketika rakyat kian buntu dan terkesan akibat pandemik Covid-19, ramai pemimpin, para NGO malah rakyat sendiri tampil memberi bantuan kepada yang memerlukan.
Selain kempen bendera putih yang dilancarkan oleh rakyat baru-baru ini, ahli politik dan perniagaan serta aktivis kebajikan, Mu’izz Nasruddin bersama badan bukan kerajaan (NGO), We Listen Malaysia turut bersama memberi bantuan kepada yang memerlukan.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Segambut itu berkata, bagi mengembalikan senyuman buat masyarakat yang terjejas akibat kesempitan hidup serta musibah yang melanda, dia menyeru orang ramai untuk sama-sama menyumbang.
“We Listen My cuba membantu golongan B40 & M40 yang terjejas teruk hingga hilang punca pendapatan.
“Jadi sama samalah kita memainkan peranan untuk membantu mereka yang berada di sekeliling kita. Kecil atau besar bantuan itu bukan ukuran. Namun ia tetap memberi makna tersendiri kepada yang menerimanya.
“Benar tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Jadi saya menyeru sama samalah kita menyalurkan bantuan apa adanya. Tak semestinya dengan wang ringgit, tenaga dan idea serta masa juga amat bermakna dalam paksi membantu,” katanya.
Selain itu, We Listen Malaysia juga turut menyediakan bantuan dari segi sokongan moral yang dikenali sebagai #ItsOkay.
Inisiatif tersebut dilaksanakan bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memandangkan tahap kesihatan mental masyarakat ketika ini amat membimbangkan.
“Saya jadi takut ketika membaca berita mengenai kes bunuh diri hampir setiap hari di negara ini. Kes seperti ini amat menakutkan dan perlu ditangani segera.
“Soal kesihatan mental bukan perkara mainan. Kita tidak tahu sejauh mana tekanan dan pergelutan hidup mampu membuatkan manusia melakukan pelbagai perkara mengejutkan saat buntu akal fikiran dan diuji.
Beliau berharap agar segala inisiatif yang dilaksanakan ini dapat memberi kelegaan terhadap mereka yang terkesan untuk mengharungi hari-hari mendatang.
“Saya akan cuba sehabis baik untuk menggerakkan misi ini untuk membantu setiap keluarga atau individu yang terkesan ketika ini,” katanya.
Discussion about this post