Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil telah rasmi bertukar bahagian ke UMNO Bahagian Putrajaya, Wilayah persekutuan.
Beliau sebelum ini merupakan ahli UMNO Bahagian Sungai Buloh dan cawangan Pekan Sungai Pelong dan mendapat persetuan daripada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Saya telah berbincang dengan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya YM Tengku Adnan Tengku Mansur dan telah didaftarkan ke cawangan beliau iaitu cawangan Bunga Matahari, Putrajaya. Saya juga telah maklumkan kepada Presiden UMNO YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau telah merestukan perpindahan saya ini.
“Sebelum PRU-14 saya tinggal di kuarters kerajaan selama beberapa tahun di Putrajaya. Kedua-dua anak saya pun bersekolah di Putrajaya. Kini anak saya yang kedua masih bersekolah di Presint 8 Putrajaya dan setiap pagi dan petang hari bersekolah saya ke Putrajaya untuk menghantar dan mengambilnya dari rumah ke sekolah dan kembali,” kata Isham menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Selain itu, beliau dan keluarga juga akan berpindah ke Putrajaya dalam masa terdekat sekaligus bermaustatin di sana dan terus berkhidmat sebagai ahli UMNO di kawasannya sendiri.
Dalam nasa yang sama, Isham turut menzahirkan rasa penghargaan kepada UMNO cawangan terdahulu beliau sepanjang perjuangan bersama selama beberapa tahun menjadi ahli.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UMNO Selangor kerana telah memberi peluang kepada saya berkhidmat selama ini. Saya tidak akan lupakan segala kenangan dan jasa bersama tuan-tuan dan puan-puan dan akan terus membantu dan menyokong perjuangan UMNO di negeri Selangor dan di seluruh Malaysia,” tambah Isham lagi.
Discussion about this post