Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mahu meletakkan calonnya sendiri sebagai menteri besar adalah tidak masuk akal.
Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berharap tiada pihak mempercayai dakwaan tidak berasas itu kerana Wan Saiful merupakan jurucakap BERSATU, bukannya BN.
“Ketua Penerangan BERSATU ni bukan jurucakap BN dia hanya jurucakap BERSATU jadi apa yang disebutnya tidak boleh dipercayai,
“Apatah lagi janji beliau sewaktu merangka Manifesto PN PRU14 pun banyak sangat tidak betul,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menerusi catatannya di Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menafikan mencalonkan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi atau individu lain selain Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor.
“Ada seorang Ketua Penerangan sebuah parti (Wan Saiful) yang tak ada masa depan, kononnya saya memberikan dokongan kepada calon BN DUN Rengit (Puad) untuk jadi MB, orang itu (Wan Saiful) mimpi ke apa, saya umum bahawa ‘poster boy’ calon MB kita jika atas perkenan Tuanku ialah Hasni.
“Tidak ada calon lain sebab apa yang saya cakap itu kita akan buat, kita tahu kuasa melantik MB kuasa Tuanku, tetapi jangan lagakan saya, lagakan saya kononnya saya nak Puad, lagakan saya kononnya saya nak orang itu dan orang ini, tidak sama sekali,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama pengundi DUN Kota Iskandar di Bilik Gerakan BN Parlimen Iskandar Puteri.
Menurut Ahmad Zahid, keputusan memilih Hasni tidak dibuat secara individu sebaliknya ia keputusan parti.
“Ia adalah keputusan parti, kita bawa dalam Biro Politik, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bincang dalam Perhubungan Negeri, sebab kita tahu Hasni mempunyai rekod terbaik,” katanya sambil menyifatkan lawan BN terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan MUDA tidak berani menamakan calon MB,” tambah Presiden UMNO itu.
Discussion about this post