Pengisytiharan kecemasan kesihatan dengan ordinan lebih khusus dilihat lebih sesuai dalam situasi sekarang bagi memerangi pandemik COVID-19.
Walaupun memahami keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat bertujuan mengawal wabak, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia menjadikan Perlembagaan dan Parlimen tidak berfungsi.
Beliau berkata, pengisytiharan darurat di negara ini dibuat di tengah-tengah penularan wabak yang kian memburuk, ditambah dengan kemerosotan ekonomi.
“Malaysia kini berada dalam keadaan yang belum pernah berlaku dan ini mencipta sejarah.
“Dengan pandemik yang kian memburuk dan ekonomi merosot, negara diletakkan dalam darurat dengan Perlembagaan dan Parlimen tidak berfungsi.
“Kita memahami kerajaan mengisytiharkan darurat untuk mengawal wabak, bagaimanapun saya percaya ia lebih sesuai untuk kerajaan mengisytiharkan kecemasan kesihatan selain memperkenalkan ordinan spesifik untuk tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad menjelaskan, penguatkuasaan strategi penjagaan kesihatan boleh memperbaiki kawalan terhadap pandemik.
Memberi contoh, beliau berkata, strategi itu antaranya mempercepatkan proses imunisasi dan menggunakan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“UMNO menyokong penuh usaha kerajaan memerangi wabak dan kita tidak berkompromi dengan pendirian ini.
“Bagaimanapun, UMNO bertegas dalam mengembalikan fungsi demokrasi Perlembagaan negara.
“Malaysia adalah demokrasi yang berjaya. Secara faktanya, Malaysia adalah contoh terbaik negara demokratik dalam kalangan negara Islam.
“Justeru, demokrasi di Malaysia mesti kekal daripada ditewaskan sama ada oleh pandemik atau apa sahaja cabaran yang mungkin dihadapi.
“Untuk melumpuhkan Perlembagaan sama ada separuh atau sepenuhnya tidak akan membantu pemulihan daripada pandemik, sebaliknya mesti menjadi negara yang adil dengan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan panduan,” katanya.
Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos 2021.
Pengisytiharan itu menyebabkan semua persidangan Parlimen dan DUN digantung hingga Ogos.
Discussion about this post