Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan dirinya tidak layak mengeluarkan kenyataan macam ketua parti dan seolah-olah merendahkan dirinya adalah sifat yang berlagak.
“Dia kata yang orang-orang yang bukan ketua cawangan (macam saya) tidak boleh buat kenyataan kononnya macam ketua parti.
“Masalah dengan Annuar ini, bila ketua parti (Presiden) cakap pun dia sanggah dan tidak boleh terima, seolah-olah dia lebih tinggi dari ketua parti, dia juga pernah kata dia ‘lebih senior dari Presiden parti’,” kata Isham menerusi catatan di Facebooknya baru-baru ini.
Selain itu, Isham mengatakan presiden parti yang diikuti oleh Annuar bukanlah presiden dari parti sendiri sebaliknya presiden dari parti lain, malah dia turut membidas peristiwa Annuar yang dahulunya pernah kalah di pemilihan Timbalan Presiden dan sewaktu bertanding Ketua Pemuda sebelum ini berikutan beliau yang memperlekehkan kekalahan Isham di pemilihan UMNO dan tidak menjadi ketua cawangan.
Jelas Isham, kalah dan menang dalam politik merupakan adat pertandingan namun semangat yang perlu dibawa bagi mempertahankan parti disamping tidak lari dari cabaran atau belot kepada pihak lawan.
Katanya, beliau pernah menolak tawaran dari Tok Umpat Alias yang menawarkan beliau untuk menjadi ketua cawangan kerana beranggapan Tok Umpat Alias telah lebih dikenali oleh penduduk kampung di situ dan Isham hanya bertugas menghulurkan bantuan yang perlu.
“Pada masa yang sama, saya juga akan buat kerja di peringkat negeri dan pusat serta bantu rapatkan hubungan antara akar umni dan kepimpinan tertinggi parti,” kata Isham
Di samping itu, Isham turut membuat keputusan untuk membuka beberapa cawangan UMNO di sekitar Selangor di samping membantu parti untuk menang pilihan raya akan datang berikutan ramai orang yang menghubunginya untuk terlibat dengan UMNO mahupun jadi sukarelawan pasukannya.
Beliau juga menyeru kepada rakyat yang ingin mendaftar boleh terus hubunginya melalui akaun Facebooknya.
“Kepada Tan Sri Annuar Musa, ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Tetapi sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah jua,” pesan Isham lagi.
Discussion about this post