Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memperuntukkan RM12 juta bagi mengagihkan bantuan bakul makanan kepada 60,080 ketua isi rumah masyarakat orang asli sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bantuan bakul makanan itu akan diagihkan secara berperingkat bermula pada Sabtu ini.
Menurut beliau, bantuan itu akan diagihkan melalui tok batin di setiap kampung.
“Bantuan tersebut merupakan bekalan makanan asas bagi membantu masyarakat orang asli meneruskan kehidupan.
“Ia merangkumi beras, minyak masak, tepung gandum, garam, gula, serbuk teh, sardin dan kicap akan diedarkan ke seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mempersoalkan apakah persiapan awal untuk bantuan kepada rakyat khususnya masyarakat Orang Asli seluruh Malaysia semasa ‘lockdown’ bagi mengekang wabak penyakit COVID-19 bermula 1 hingga 14 Jun ini .
Ini kerana katanya, isu tidak menyampaikan bantuan bekalan makanan (Bakul Makanan) kepada masyarakat Orang Asli di Pos Menson dan Pos Betau Pahang telah berlaku.
“Saya dapati JAKOA pusat gagal melaksanakan tanggungjawabnya terhadap masyarakat Orang Asli Malaysia dengan baik sebagai bukti sehingga hari ini bantuan bakul makanan kepada perkampungan Orang Asli Pos Menson dan Pos Betau didalam kawasan Parlimen Cameron Highlands tidak disampaikan setelah arahan dari pejabat kesihatan untuk menjalankan perintah kuarantin di dua kawasan Pos orang Asli tersebut ini diberikan.
“Kesimpulannya, didapati masyarakat Orang asli di kedua Pos ini dikurung dan tidak diberi bantuan makanan bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19, hal ini berlaku pada lebih kurang sebulan lepas, dimana logiknya katanya di dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu Abdul Rahman turut berkata, sesi pengagihan turut dipantau oleh Pegawai Jakoa Daerah bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada setiap ketua isi rumah.
“Jakoa berharap dengan pelaksanaan bantuan ini akan membantu masyarakat orang asli yang terjejas sepanjang tempoh PKP ini sekaligus meringankan beban mereka,” katanya.
Discussion about this post