Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan tindakan kerajaan memberi kebenaran kepada syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau tidak faham bagaimana syarikat PPW boleh dianggap sebagai perkhidmatan penting ketika ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau terpaksa mengambil sedikit masa mengulas isu itu kerana berpendapat kemungkinan ada justifikasi kerajaan membuat keputusan berkenaan, namun masih gagal mencari kemunasabahannya.
“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lalu membenarkan sektor itu beroperasi, malah ia menjadi sektor ke-13 perkhidmatan perlu dibawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).
“Walhal banyak segmen perniagaan lain yang benar-benar penting termasuk berkait keperluan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) masih dilarang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, keputusan kerajaan itu boleh menambah persepsi tidak baik terhadap cara kerajaan Perikatan Nasional menguruskan impak pandemik Covid-19.
Katanya, ia juga seolah-olah menggalakkan rakyat dalam kesulitan akibat ‘total lockdown’ untuk meminjam daripada syarikat Pemberi Pinjam Wang.
“Ini kerana tiada justikasi yang murni mengapa syarikat Pemberi Pinjam Wang dijenamakan semula sebagai Kredit Komuniti dianggap ‘essential’,” katanya.
Malah, Ahmad Zahid berkata, rakyat juga mula tertanya-tanya kemampuan kerajaan PN ‘berfikir’ untuk membantu rakyat yang sedang sengsara.
“Kelihatan seperti mahu menyerahkan sebahagian tanggungjawab menghulurkan tunai kepada Pemberi Pinjam Wang yang semestinya ‘kecil tapak tangan nyiru mereka tadahkan’,” katanya.
Beliau berkata, hakikatnya ada kaedah lebih baik dan selamat untuk rakyat mendapatkan pinjaman wang iaitu daripada agensi-agensi kerajaan.
“Antaranya perluaskan dan permudahkan pinjaman oleh TEKUN. Mungkin gunakan Mykad sahaja sudah cukup untuk diberi pinjaman segera.
“Apapun keputusan terbaru kerajaan PN itu semakin membuat rakyat sangsi terhadap kenyataan-kenyataan kerajaan PN kerajaan yang prihatin nasib rakyat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan bersetuju membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau PPW yang berdaftar bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk beroperasi berkuat kuasa serta-merta.
KPKT dalam kenyataan memaklumkan persetujuan itu dicapai susulan Mesyuarat Sidang Khas MKN pada 18 Jun lalu.
Katanya, KK adalah sektor yang ke-13 disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu bawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem CIMS 3.0.
Discussion about this post