Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menyelar dakwaan Tun Mahathir yang mengatakan UMNO tidak menghormati perlembagaan sendiri.
“Urusan UMNO biarlah pemimpin dan ahli UMNO uruskan. UMNO parti yang mendengar apa kehendak akar umbi.
“Tun jaga sahaja Pejuang,” kata Shamsul menerusi posting di Facebooknya baru-baru ini.
Sebelum ini, Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan kepada media yang mengatakan keputusan UMNO untuk menangguh pemilihan parti terlalu lama menunjukkan parti itu tidak menghormati perlembagaan sendiri.
“Kalau dalam jangka pendek tidak mengapalah, ini sampai berapa bulan hendak tangguh itu bermakna kita tidak menghormati perlembagaan kita,” kata Tun Mahathir dalam satu kenyataan di media.
Shamsul menyelar dakwaan tersebut dengan meminta Tun Mahathir tidak mencampuri urusan parti UMNO dan fokus dengan parti Pejuang sahaja kerana pendapat beliau pasti akan diikuti oleh parti tersebut.
Tambah Shamsul parti Pejuang ditubuhkan bukan untuk kepentingan negara dan rakyat tetapi ditubuhkan untuk menjadikan anak beliau sendiri menjadi Presiden walaupun tanpa pemilihan.
“Mukhriz dipilih menjadi Presiden, tak buat pemilihan pun Mukhriz jadi Presiden kerana Pejuang ditubuh bukan mahu membela rakyat dan bangunkan negara,” tegas Shamsul lagi.
Discussion about this post