Janji Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memberikan tanah 5 ekar kepada setiap keluarga di negeri ini adalah satu pembohongan apabila tanah yang “ditawarkan” itu merupakan Hutan Simpan Kelas Enam yang dijaga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kelmarin beliau berjanji untuk memberi lima ekar tanah kepada rakyat seisi keluarga di Sabah. Saya mencongak-congak melalui kalkulator, saya tengok tanah mana lagi dia (beliau) mahu bagi.
“Sampai Gunung Kinabalu pun tidak akan sampai. Ini satu pembohongan yang sudah tentu tidak akan dapat ditunaikan sama sekali,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menurutnya, dalam satu kempen di Kinabatangan, beliau (Shafie) menjanjikan tanah kepada pengundi DUN Lamag membabitkan 5, 135 hektar, namun, tanah itu sebenarnya Hutan Simpan Kelas Enam Long Manis yang mempunyai tadahan air.
Tegasnya, tanah tersebut tidak boleh diberi kepada sesiapapun, termasuklah sultan sekalipun kerana tanah itu bukan sahaja dijaga Sabah dan Malaysia tetapi juga PBB.
Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama beliau di Command Centre Zon 6 (Bandar Sri Indah) di sini, pada Ahad, malam. Hadir sama, tiga calon BN Parlimen Tawau dan Kalabakan – Hamild Awang (N.67 Balung), Chaya Sulaiman (N.70 Kukusan) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (N.71 Tanjung Batu).
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Sabah berkata, beliau sudah menjelajah hampir 85 peratus calon-calon bertanding dan berpuas hati dengan jentera UMNO BN.
Malah beliau melihat sokongan terhadap BN dilihat semakin meningkat apabila ‘berbondong-bondong’ ahli Warisan bertindak keluar parti untuk menyertai UMNO.
“Di Kunak, lebih kurang sembilan cawangan Warisan bubar, di Tungku 18 cawangan Warisan bubar, di Pantai Dalit berbondong-bondong ahli Warisan masuk Umno, termasuk yang terkini Setiausaha Politik kepada (Datuk) Dr.Yusof (Yacob) Menteri Pendidikan dan Inovasi iaitu Rafael Idris,” katanya.
Tindakan Rafeal itu, katanya, mengakibatkan cyber trooper (laskar siber) Warisan menjadi lemah kerana beliau menjaga menjaga cyber trooper parti tersebut.
“InsyaAllah apabila saya balik ke Kinabatangan nanti, akan ada ramai lagi pemimpin tertinggi Warisan menunggu saya untuk mengisytiharkan mereka keluar parti,” katanya.
Menurutnya, para penyokong Warisan bertindakan keluar parti kerana sudah tiada keyakinan terhadap “janji ditabur Shafie menerusi manifesto “Sabah Ubah” beliau yang ‘bukan alang-alang’, namun sudah hilang diganti dengan slogan “Sabah Ubah Balik”.
“Kita mesti Ubah Balik dengan mengundi BN kerana kerajaan Warisan sudah menyebabkan ekonomi Sabah jatuh teruk daripada 8.2 peratus pada 2017 kepada 1.5 peratus pada 2018 dan 0.54 peratus pada 2019,” katanya.
Discussion about this post