Barisan Nasional (BN) amat menghormati pemimpin dan penyokong PAS kerana tidak memberontak dan terus menggerakkan jentera parti membantu kempen calon BN dan Perikatan Nasional (PN) meskipun mereka tidak meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, berkata beliau juga amat kagum dengan ketaatan dan kesetiaan ditunjukkan penyokong PAS kepada barisan kepimpinan parti itu.
Justeru Bung Moktar berkata beliau tidak akan melupa jasa dan pengorbanan serta sumbangan PAS jika gabungan BN dan PN berjaya menewaskan Warisan serta membentuk kerajaan negeri baharu, pada 26 September nanti.
“Kita kena bagi kredit kepada PAS kerana mereka tidak memberontok dan mengarahkan jentera parti berkempen untuk calon BN dan PN selepas pucuk pimpinan parti memutus untuk tidak meletakkan calon pada PRN kali ini.
“Keadaan ini amat berbeza jika dibandingan dengan situasi berlaku dalam BN atau pun PN di mana masih ramai pemimpin dan penyokong yang merajuk enggan menyertai kempen kerana nama mereka tidak tersenarai sebagai calon pada PRN nanti,” katanya.
Bung Moktar berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mohamed Azmin Ali bersama masyarat dan pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Karambunai dan Darau pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dua calon BN iaitu Datuk Jumat Idris (DUN Darau) dan Datuk Yakub Khan (Karambunai) serta Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ir Khairil Nizam Khirudin.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata beliau berharap pemimpin dan penyokong BN/PN dapat mencontohi PAS yang sentiasa berlapang dada dan pasrah serta tenang dalam menghadapi pelbagai ujian.
“Dalam BN masih ada yang merajuk enggan membantu kita berkempen tetapi dalam pas tiada begitu, mereka sentiasa pasrah kerana apa yang berlaku adalah kerja Allah.
“Kita kena pasrah kerana kita mampu merancang tetapi Allah mempunyai rancangan yang lain. Jadi saya berharap kita dapat berusaha keras untuk memastikan kedua-dua calon BN akan memperoleh kemenangan dalam PRN sekali gus membantu membentuk gabungan bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu pada 26 September depan,” katanya.
Discussion about this post