Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil menegaskan keputusan perlantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kabinet bagi menggantikan Zuraida adalah diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bukannya diputuskan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Muhyiddin tidak boleh mendahului Perdana Menteri dan dia perlu serah kepada Perdana Menteri untuk pertimbang dan buat keputusan dan perlu terima budi bicara dan keputusan Perdana Menteri walaupun keputusan itu tidak memihak kepadanya,” kata Isham menerusi posting di Facebooknya.
Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut bagi mengulas berita mengenai ura-ura cadangan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari PPBM dan melantik seorang lagi ahli parlimen atau senator PPBM untuk jadi menteri menggantikan Zuraida.
Selain itu, Muhyiddin juga menyatakan jawatan menteri yang dikosongkan Zuraida merupakan hak dan kuota untuk parti mereka.
“Berdasarkan undang-undang, jawatan menteri bukanlah hak sesuatu parti untuk menentukan, tetapi ia adalah hak Perdana Menteri, mengikut Perlembagaan tidak ada kuota parti untuk pelantikan menteri kabinet. Muhyiddin perlu ikut undang-undang bukan buat undang-undang sendiri.” Kata Isham.
Isham berkata, tidak masuk akal dalam pertimbangan politik untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dan menteri dari Bersatu berikutan parti itu mengalami kekalahan yang teruk dalam pilihanraya-pilihanraya yang dijalankan sebelum ini sekaligus menunjukkan bahawa rakyat telah menolak mereka.
Kekalahan yang dihadapi mereka sebelum ini juga menunjukkan jawatan kerajaan yang dipegang oleh mereka tidak mendapat mandat daripada rakyat apatah lagi mereka adalah parti yang lompat parti.
Dalam masa yang sama, Isham menekankan menteri-menteri Bersatu yang ada dalam kabinet adalah dari kompeten atau pun pelompat parti dan jika mereka masih dilantik dalam kabinet, ianya boleh melemahkan lagi kerajaan dan menambah persepsi negative rakyat kepada kerajaan.
“Negara tidak perlukan menteri-menteri yang tidak kompeten dan pelompat parti yang gila kuasa dan pentingkan diri sendiri. Kita perlukan menteri-menteri yang cekap, berintegriti dan berprinsip lebih-lebih lagi di masa yang kritikal ini,” tegas Isham lagi.
Discussion about this post