Pemimpin Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed mempertahankan kenyataan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan Umno tidak boleh menghalang mana-mana anggota parlimennya daripada menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Jazlan, yang merupakan timbalan pengerusi Umno negeri, dilaporkan berkata bahawa Zahid ingin mententeramkan akar umbi parti itu yang tidak senang terhadap kerjasama dengan Bersatu.
Beliau juga berkata Zahid membuat kenyataan itu agar mereka yang tidak setia dengan parti boleh keluar dan menyokong Anwar, lapor The Malaysian Insight.
“Apa yang Zahid lakukan adalah perkara yang betul untuk Umno. Kita akan hadapi pilihan raya dan akar umbi sangat marah untuk Umno bekerjasama dengan Bersatu.
“Apa yang Zahid lakukan adalah yang terbaik untuk Umno kerana PM ini (Perdana Menteri Muhyiddin Yassin) bukan dari kalangan kita,” kata Nur Jazlan.
Semalam, ketua pembangkang dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.
Berikutan itu, Zahid berkata ramai anggota parlimen Umno dan BN menyatakan sokongan terhadap Anwar, dan parti itu tidak dapat menghalang mana-mana anggota parlimennya yang mahu menyokong presiden PKR itu sebagai perdana menteri.
Discussion about this post