Sebanyak 278,023 perjawatan telah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk Kementerian Kesihatan sehingga 31 April lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, lebih 40,000 pelantikan secara kontrak telah diluluskan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM4.3 bilion.
Katanya, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan emolumen kepada pegawai Kementerian Kesihatan yang kini berjumlah lebih RM18 bilion iaitu 63 peratus daripada peruntukan belanja mengurus kementerian.
“Bagi aspek pengurusan sumber manusia pula, kementerian ingin merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat meluluskan perjawatan dan pelantikan sumber manusia di kementerian ini,” katanya pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Adham memaklumkan, pihaknya telah membuat penugasan semula (mobilisasi) secara dalaman bagi petugas kesihatan dan bukan kesihatan dari negeri tertentu ke negeri serta fasiliti memerlukan sumber manusia tambahan iaitu seramai 1,375 anggota perubatan dan 276 anggota kesihatan awam pelbagai kategori dan skim perkhidmatan dari Semenanjung dan Sarawak ke Sabah tahun lalu bagi menampung keperluan perkhidmatan semasa penularan pandemik.
Katanya, pihak kementerian turut melaksanakan pembelian perkhidmatan daripada sejumlah 200 kaunselor dan doktor swasta bagi menyokong perkhidmatan kesihatan mental dan perawatan perubatan bukan Covid-19 mengikut daerah dan lokaliti.
“Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan agensi awam lain bagi mobilisasi pegawai di bawah agensi berkenaan dengan JPA telah memberi kerjasama untuk memobilisasi sejumlah 211 Pembantu Tadbir Kewangan untuk melaksanakan tugas kutipan fi di pintu-pintu masuk utama dan stesen kuarantin di seluruh negara termasuk Sabah.
“Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah juga telah membantu untuk menyediakan 69 pemandu kenderaan dari agensi awam di Sabah bagi menyokong khidmat logistik kesihatan di negeri berkenaan,” katanya.
Beliau menambah seramai 2,210 petugas pelbagai kategori telah dimobilisasikan ke Kelantan, Sarawak, Kuala Lumpur, Hospital Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan sehingga 20 Julai lalu.
“Selain itu, kementerian telah melantik 1,519 petugas kesihatan kontrak tambahan berdasarkan kelulusan agensi pusat untuk ditempatkan di fasiliti kesihatan Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Hospital Kuala Lumpur.
“Penempatan ini bertujuan bagi memenuhi keperluan tambahan sumber manusia di Lembah Klang agar kes-kes Covid-19 dapat dikendalikan dengan pantas, cekap dan berkesan,” jelasnya.
Discussion about this post