Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus dicemari tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak dan terkini kain rentang calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai pula dikoyak.
Kain rentang itu memaparkan nama serta wajah Kenny Shen Poh Kuan selain tulisan Kestabilan Masa Depan dalam bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin diletakkan berdekatan dengan Pasaraya Econsave dekat Senai selepas kempen PRN Johor bermula.
Menurut Kenny, beliau kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab atas insiden berkenaan yang menimpanya.
“Saya dapat tahu tentang hal ini kira-kira jam 12.30 malam tadi dan perkara ini telah dimaklumkan oleh jentera saya di kawasan Senai sendiri.
“Saya tidak pasti pihak mana yang rosakkan. Tetapi, yang pasti adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang cuba cetus provokasi,” katanya.
Tambah beliau lagi, sepatutnya amalan politik yang matang perlu dititikberatkan dalam PRN Johor ini.
“Kita sepatutnya bertanding dengan secara aman dan gunakan kaedah politik yang matang. Tak perlu buat seperti ini,” ujarnya lagi.
Berikutan itu, beliau akan membuat satu laporan polis agar perkara ini dapat disiasat dan tindakan diambil oleh pihak berwajib ke atas pihak yang terlibat.
Discussion about this post