Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan menyifatkan sebilangan ahli politik yang tidak berprinsip kerana menjadi katak lompat hanyalah demi mendapatkan jawatan dan pangkat sehingga sanggup meletakkan kepentingan parti begitu sahaja setelah sekian lama diperjuangkan.
Beliau berkata meskipun negara barat menggambarkan kerjaya politik adalah kerjaya yang paling teruk selepas kerjaya peguam, namun berbeza di Malaysia yang kebanyakkan ahli politik berlatarbelakangkan ketua kampung dan majoriti guru-guru.
“Rakyat Malaysia menjadikan orang politik sebagai tempat mengadu untuk pelbagai urusan, anak masuk university, anak nak belajar luar negara, masalah bil utiliti, memohon bantuan, longkang sumbat malah masalah along pun sering kali dirujuk kepada orang politik.
“Berbeza di barat, kerja-kerja seperti ini dilakukan oleh kebanyakkan NGO”, katanya menerusi posting di Facebooknya baru-baru ini.
Di samping itu tambahnya, sejarah silam politik di Malaysia pula masih lagi menjadi tempat rujukan rakyat.
“Hubungan yang terbaik di setiap pelusuk negara telah lama dipupuk menjadikan ramai rakyat masih menghubungi pemimpin politik Barisan Nasional (BN) untuk mengadu meskipun setelah BN kalah,” ujarnya.
Mengulas isu katak lompat bagi Razlan, ini tidak dikaitkan dengan BN sahaja malah pemimpin PKR, Amanah, dan DAP serti parti di Sarawak juga mempunyai pemimpin yang seperti ini.
“Sekaligus menjadikan satu sosok politik yang dianggap suci hanyalah menjadi racun kepada kerja khidmat bakti.
“Semenjak Tun Mahathir dan Muhyiddin menjadi perdana Menteri, mereka menggunakan kaedah ugutan, pujukan dan sogokan untuk mendapatkan sokongan. Kalau tak boleh pujuk, mereka sogok. Kalau tak jalan sogok, mereka ugut dan kenakan pelbagai sabitan jenayah”, ujar beliau.
Mohd Razlan turut mengibaratkan bahawa negara kini telah kembali pada zaman kuku besi, iaitu zaman dimana kuasa adalah segalanya dan bagi mereka yang tidak berkuasa pula perlu menerima apa sahaja yang dilakukan kepada mereka.
Dalam pada itu, usaha mereka untuk menggagalkan undang-undang lompat katak ini terus menerus dilakukan oleh mereka melalui pintu belakang dan permainan politik hanya kerana mahu dilihat sebagai orang yang baik dan menghalalkan perilaku lompat katak.
“Semoga rakyat Malaysia menjauhkan diri dari parti Perikatan Nasional (PN) yang melakukan semua kerja buruk ini agar kita semua tidak dikaitkan dengan katak-katak beracun ini”, tambahnya lagi.
Discussion about this post