Kegagalan Menteri Dalam Negeri mendapat kelulusan Parlimen untuk melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi merupakan satu tamparan hebat buat Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.
Rata-rata ahli politik Barisan Nasional berpendapat sudah pasti Kementerian dan Kabinet telah berbincang secara teliti sebelum usul tersebut dibentangkan di Parlimen.
Namun, dalam undian belah bahagian tadi, usul tersebut gagal mendapat sokongan.
Ini menunjukkan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang sudah tidak wujud dan terbatal.
Oleh itu pembubaran parlimen perlu disegerakan agar sebuah kerajaan yang stabil dapat diwujudkan dan situasi janggal sebegini tidak berlaku lagi di Parlimen.
Sebelum ini kerajaan pernah terpaksa membawa ahli Parlimen yang dalam kuarantin siap memakai PPE semata-mata hanya untuk mengundi bagi meluluskan Belanjawan 2022.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii sebelum ini amat susah jika usul kerajaan sendiri gagal diluluskan di Parlimen namun ia berjaya diatasi dengan kesepakatan semua ahli Parlimen di barisan kerajaan.
“Amat jarang sekali kita melihat akta yang dibawa ke dalam dewan oleh Kerajaan tapi GAGAL melepasi undi kemenangan.
“Ada banyak cubaan serang hendap dilakukan oleh Pembangkang semasa sessi Parlimen berlangsung sebelum ini.
“Bajet 2020 juga kelihatan setiap kali ‘bill’ mahu diluluskan setiap kali itulah Kerajaan bertungkus lumus mendapatkan kehadiran sehingga pernah ahli parlimen memakai PPE untuk membuang undi,” katanya menerusi posting di Facebook.
Bagaimanapun tambahnya, kegagalan Menteri Dalam Negeri meluluskan sub seksyen Sosma ini menunjukkan dengan jelas kerajaan hari ini sudah tidak lagi stabil.
Dan sudah tiba masanya untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Kerajaan hari ini jelas sudah tidak stabil dan memberi ia sekaligus memberi gambaran buruk kepada Kerajaan di dalam Parlimen.
“Ternyata perjanjian diantara Kerajaan dan Pembangkang sudah tidak boleh diguna pakai dan ianya terbatal.
“Masa terbaik melakukan Pilihanraya!” ujarnya lagi.
Terdahulu Dewan Rakyat semalam gagal meluluskan usul untuk melanjutkan SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.
“Ini keputusan undian belah bahagian untuk usul dikemukakan menteri. Yang bersetuju 84, yang tidak bersetuju 86, tidak hadir 50. Maka usul tidak dipersetujui,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Subseksyen itu bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor sebelum itu memutuskan usul itu diundi secara belah bahagian selepas Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) bangun meminta undi belah bahagian dibuat, selaras Peraturan Mesyuarat 46(4).
Susulan itu, sidang Dewan Rakyat ditangguhkan 10 minit selepas loceng dibunyikan selama dua minit, sebelum undian belah bahagian dibuat.
Penangguhan itu dipercayai dibuat untuk menukar Speaker Dewan Rakyat yang mempengerusikan majlis ketika undian belah bahagian berjalan, sekali gus membolehkan Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, turut serta dalam undian berkenaan.
Sesi undian itu sedikit kecoh apabila sejumlah Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan bantahan terhadap beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang masuk lewat ke dalam Dewan, selepas sesi undian dimulakan.
Susulan itu, Azhar mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin menolak undian beberapa Ahli Parlimen yang masuk lewat. Difahamkan, tiga undi Ahli Parlimen kerajaan ditolak.
Usul itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum dibahaskan 19 Ahli Parlimen.
Discussion about this post