Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mempertahankan kelonggaran yang diberi kepada ahli Parlimen yang sedang menjalani kuarantin untuk hadir mengundi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021.
Katanya, kelonggaran itu bukan perkara baharu malah turut diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada individu lain dalam kes tertentu.
“Saya difahamkan pengecualian ini bukan baru, sebaliknya pengecualian sama diberikan kepada (individu di bawah pengawasan) PUS untuk hadiri upacara pengebumian dan melawat pesakit bagi kes-kes kecemasan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kebenaran yang diberikan kepada tiga wakil rakyat menghadiri sidang Parlimen dengan mengenakan pakaian pelindung diri (PPE), walaupun mereka dalam tempoh kuarantin.
Jumaat lalu Dewan Rakyat diberitahu bahawa tiga ahli Parlimen – Menteri Kesihatan Dr Adham Baba (Tenggara-BN), Menteri Sumber Manusia M Saravanan (Tapah-BN) dan P Prabakaran (Batu-PH) – akan dikuarantin selepas mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.
Ketiga-tiga ahli Parlimen itu diarahkan untuk menjalani kuarantin sendiri dan diberi perintah pengawasan dan pemantauan di rumah selama 14 hari.
Azhar bagaimanapun berkata, dengan tempoh kuarantin dipendekkan jadi 10 hari, Adham boleh menyertai sidang Dewan hari ini selepas tempoh kuarantin tamat semalam, manakala Prabakaran akan tamat tempoh kuarantin esok.
Saravanan pula akan tamat tempoh kuarantin pada Khamis, tambahnya. – 15 Disember, 2020.
Discussion about this post