UMNO BN harus berusaha keras untuk meraih kemenangan besar kerana ia sekaligus akan mencorak perjuangan parti keramat itu di masa depan.
Tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah itu sahaja pilihan yang ada buat UMNO BN kerana jika gagal ia akan menyukarkan perjuangan.
“Dari itu kita mesti manfaatkan peluang yang ada. Kerana apa yang kita inginkan selama ini untuk kembali mengambil alih Negeri Sabah sudah tiba. Kita mesti bersama melakukannya,” katanya pada Majlis bersama rakyat di Pulau Gaya DUN Tanjung Aru Sabah hari ini.
Namun katanya, ia bukan satu perkara yang mudah jika semua tidak bekerja kuat kerana tiada jalan mudah untuk mencipta kemenangan kali ini.
“Apatah lagi politik di Sabah kini sangat dinamik. Landskapnya berubah begitu ketara. UMNO BN mesti menyesuaikan pendekatannya seiring dengan perubahan ini. Jika tidak, kita akan jauh tinggal dibelakang.
Justeru, kita mesti bijaksana dalam semua keadaan. Pendekatan dan cara baru yang luar dari kebiasaan mesti dillakukan oleh kita disemua peringkat,” tambahnya.
Shamsul yang juga Pengarah Komunikasi BN mahu semua penduduk Sabah menerima realiti baru politik ketika ini terutama kerjasama BN dengan PN.
“Kita mesti ketepikan segala perkara yang boleh menghalang kemenangan kita. Tumpuan sepenuhnya semua kepimpinan pelbagai peringkat dalam tempoh ini sehingga 26 September 2020 ini mesti kearah kemenangan parti.
“Saya yakin kita mampu menang jika kita bersama melakukannya. Namun kita mesti berusaha yakinkan rakyat agar bersama dan menyokong kita,” ujarnya lagi.
Discussion about this post