Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bahawa ketika ini sekurang-kurangnya tujuh parti telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Barisan Nasional.
Katanya susulan reaksi kepada kenyataan Presiden Penaja Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mengenai permohonan parti itu yang ingin menyertai BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kenapa agaknya banyak parti mahu menyertai atau kembali semula sebagai komponen Barisan Nasional (BN),” soalnya menerusi catatan di Facebook.
Media pada Rabu melaporkan PBM menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi PRU15, tiga minggu lalu.
Zuraida bagaimanapun berkata, setakat ini BN masih belum menjawab permohonan tersebut.
Berkongsi nada sama, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, semasa awal–awal selepas kekalahan BN pada PRU14, banyak parti bertindak menjauhkan diri dan menghina parti politik terbesar itu.
“Tak kurang yang hina kita sebagai parti perompak pencuri. Tapi hari ini ramai pula yang nak ‘mengendeng’ dekat kita. Kenapa ya?” soalnya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.
“Adakah kita patut terima mereka? Apa pandangan anda?” soalnya.
Discussion about this post