MCA menjunjung kasih di atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta kepercayaan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, atas pelantikan wakil-wakil MCA sebagai menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet yang baru diumumkan.
Sebagaimana pengumuman Perdana Menteri hari ini, Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong telah dilantik sebagai Menteri Pengangkutan; Timbalan Presiden, Dato’ Dr Mah Hang Soon sebagai Timbalan Menteri Pendidikan; Naib Presiden, Datuk Lim Ban Hong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Naib Presiden, Dato’ Sri Ti Lian Ker sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan; dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Tatkala situasi pandemik yang belum reda, kesihatan dan nyawa rakyat masih terancam serta keadaan ekonomi dan kehidupan yang amat meruncing, MCA sedar tugas yang bakal kami pikul ini akan menjadi tanggungjawab dan amanah yang cukup besar serta memahami hasrat seluruh rakyat yang mahu melihat Kabinet baharu ini dapat merungkai kekusutan situasi pandemik dan ekonomi ini dengan efektif, tegas dan pantas.
Pelantikan ini juga bermakna bermulalah tugas yang diamanahkan. MCA berikrar bahawa wakil-wakil kami akan berusaha sedaya-upaya untuk melakukan yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada seluruh rakyat di bawah semangat Keluarga Malaysia, serta bersama-sama rakan-rakan dalam Kabinet menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha memerangi pandemik, memulihkan ekonomi, serta melindungi nyawa dan kehidupan rakyat, seterusnya membawa negara keluar daripada dibelenggu pandemik ini secepat mungkin.
Discussion about this post