UMNO Sabah mencadangkan kerajaan Sabah dikenali sebagai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) kerana parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan yang ditubuhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengenai penubuhan GRS daripada empat parti baru-baru ini menunjukkan berlaku struktur perubahan dalam kerajaan.
“Tidak adil bagi BN kalau tidak disebut sebab kita bukan dalam GRS, kita cuma mendukung kepimpinan GRS dalam pentadbiran negeri,” katanya kepada media baru-baru ini.
Diminta mengulas kenapa BN tidak berada dalam GRS, Bung Moktar menjelaskan bahawa partinya itu tidak boleh berada di dalam gabungan lebih daripada satu.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyifatkan suasana politik di Sabah berbeza berikutan kepimpinan di peringkat Pusat yang sudah tidak sehaluan.
“Dalam konteks UMNO Sabah, sudah tentu orang melihat Sabah sebagai negeri yang agak kritikal kerana kita mendukung bersama-sama parti tidak sehaluan dengan UMNO di Pusat iaitu UMNO-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat.
“Sudah tentu tidak dapat bekerjasama dengan apa cara sekali pun dan di Sabah kita ada GRS,” katanya.
Bung Moktar turut memaklumkan UMNO Sabah terbuka bekerjasama dengan parti lain tetapi keutamaan tetap diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai rakan dalam pimpinan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan persetujuan dengan cadangan Bung Moktar dan memaklumkan kerajaan yang dipimpinnya kini dikenali sebagai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN).
Beliau juga mengulangi pendirian bahawa GRS yang ditubuhkan memang hasil daripada kerjasama dengan BN.
“Ya, memang pun itulah namanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah atau GRS ini termasuklah BN walaupun BN dia dalam satu gabungan yang lain, tidak dalam GRS tetapi kerajaan yang ada hari ini ialah kerajaan GRS dan juga BN.
“Ini sudah dipersetujui sebelum pilihan raya pun kita ada kerjasama dengan BN dan apabila kita menang dalam keputusan pilihan raya kita pun bersama-sama membentuk kerajaan negeri dengan BN.
“Jadi cadangan itu memang bagus, tetapi kadang-kadang kita panggil GRS, jadi mulai sekarang ini kita panggil GRS-BN,” ujarnya.
Discussion about this post