Disaat kita menyambut Hari Kebangsaan ke-63 dan Hari Malaysia yang bakal menjelang, ternyata isu kebun durian Musang King haram di Raub, Pahang masih belum ‘dimerdekakan’. Para pekebun haram tersebut masih rancak mahu menegak benang yang basah dengan menuntut pujuk rayu pihak pemerintah. Manakala, sesetengah pemimpin politik khususnya dari parti yang berbeza dengan parti pemerintah, masih serius mahu membantu ‘menghalalkan apa yang telah diharamkan’.
Yang salah tetap salah, kedudukan undang-undang mengenai status tanah itu jelas termaktub dalam Seksyen 48 Kanun Tanah Negara 1965, yang menegah sebarang aktiviti pendudukan di tanah itu tanpa izin. Tak hairanlah jika Kerajaan Negeri Pahang pada 1 Ogos lalu telah bertindak tegas keatas 111 pekebun durian haram ini.
Peliknya, masih ada rakyat dan para pemimpin parti politik yang sokong 111 pekebun jahat ini. Apakah kita tak sedar bahawa mereka ini penjenayah? Dalam soal pendatang tanpa izin, kita lawan mereka habis-habisan. Tapi kenapa dalam isu membina kebun durian tanpa izin ini kita membezakan antara kedua-dua aktiviti tersebut? Pendatang tanpa izin datang secara haram ke negara kita. Pekebun durian Musang King di tanah kerajaan ini juga meneroka dan menggunakan harta kerajaan tanpa izin juga.
Ada yang kata 111 pekebun haram ini tak mampu, terpaksa meneroka tanah secara haram demi sesuap nasi mereka. Tapi lupakah kita dari mana para pekebun haram ini peroleh dana untuk mengupah kerja-kerja bersih kawasan kebun seluas 5,000 hektar? Jika mereka tak mampu, bagaimana mereka boleh membeli anak-anak pokok Musang King yang mencecah lebih RM100 sepokok? Jangan terpedaya dengan serangan psikologi mereka ini.
Kalau bukan kerana tamak haloba dan pentingkan duit poket sendiri, atas alasan apa lagi para pekebun haram ini menceroboh? Mereka hanya peralatkan agenda-agenda pelancongan dan kelestarian/kehijauan/pertanian, dari situlah mereka mengaut untung turun temurun.
Sebagai seorang pemerhati dan rakyat yang cakna terhadap isu-isu semasa dalam negara, saya yakin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Pahang, Menteri Besar Pahang dan para pemimpin politik pro pemerintah sangat-sangat berjiwa rakyat. Para pucuk pimpinan negara dan negeri ini tidak akan sesekali berkompromi dengan para pencuri tanah kerajaan tersebut. Pengalaman kita pernah dijajah, tanah nenek moyang kita pernah dirampas 63 tahun dahulu akan memberi keinsafan dan pedoman buat para pucuk pimpinan kita. Tidak kira dari pintu istana, sehinggalah ke yang berhormat di kampung.
Ayuhlah Kerajaan Negeri Pahang, inilah masanya untuk pihak pemerintah benar-benar berjiwa rakyat dan terus menjadi ‘juara rakyat’. Jangan dilayan dan diberi muka kepada para pencuri, perompak dan pembohong seperti mereka ini. Sekiranya kita bersifat ‘menarik benang dalam tepung’ dengan penceroboh-penceroboh ini, kita telah menganaktirikan kira-kira 1.8 juta rakyat Pahang demi untuk menjaga 111 orang pekebun tanpa izin ini.
Justeru, jika kita benar-benar berjiwa patriotik dan mahu menjaga negara tercinta, kita semua takda pilihan lain selain menyokong dan mendesak Kerajaan Negeri Pahang untuk mengambil tindakan keras terhadap para penceroboh berkenaan.
Yang benar,
SARFARIZMAL BIN MD SAAD
Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA)
Penafian :- Artikel ini merupakan pandangan individu dan tidak semestinya merupakan pandangan rasmi @bnnewsonline.com
Discussion about this post