Kerajaan Negeri Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) untuk projek Pembangunan Industri Bot Amfibia bernilai RM500 juta.
Menteri Besarnya, Datuk Wan Rosdy Wan Ahmad berkata, perjanjian tersebut dilaksanakan pada 8 Mac yang lalu bersama syarikat Sealegs International Pte, Ltd.
“Memorandum Perjanjian ini merupakan salah satu usaha Sealegs International menjadikan Pahang sebagai pusat pembuatan, pusat servis dan pusat pemasaran bot amfibia keluaran mereka.
“Perjanjian ini ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehudin Ishak mewakili Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif Sealegs International, Encik David Mckee Wright yang mewakili Sealegs International Pte. Ltd,” kata Rosdy menerusi hantaran di Facebooknya.
Selain itu, beliau menjelaskan Sealegs International merupakan sebuah syarikat pembuatan kapal amfibia dimana ianya berpusat di New Zealand dan menjadi salah satu tempat perusahaan marin yang terbesar di dunia.
Dalam masa yang sama, Rosdy mengharapkan agar projek ini dapat menyumbang kepada pembangunan Negeri Pahang sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri tersebut.
Discussion about this post