Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, pihaknya akan membantu proses pendaftaran golongan sasar menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.
Katanya, ia termasuk bantuan bagi memudahkan pencapaian pangkalan data bagi kumpulan sasar, termasuk warga emas, orang kelainan upaya, kanak-kanak dan anak yatim.
“Kita akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan melihat bagaimana kita membantu proses pendaftaran mereka yang kita sasarkan,” katanya pada program derma darah di Masjid Nurul Iman, Kampung Pasir Putih di Putatan.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun dilaporkan berkata, warga emas dan OKU perlu diberi keutamaan dalam fasa kedua PICK.
Sementara itu, Shahelmey menggesa semua rakyat Sabah yang layak supaya mendaftarkan diri menyertai PICK secara sukarela demi kepentingan awam.
“Program mendapatkan imunisasi Covid-19 ini adalah secara sukarela, tapi kita menyeru semua rakyat yang layak mendapatkan vaksin.
“Ini kerana tujuannya bukan saja melindungi diri kita, tetapi kita melindungi masyarakat secara umum.”
Discussion about this post