Masihkah ada kewajaran untuk meneruskan kerjasama selepas apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam?
Itulah persoalan yang berlegar dalam kalangan semua ahli politik ketika ini.
Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan apa yang berlaku semalam memang jelas menunjukkan pembangkang mula menunjuk taring mereka dan langsung tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut.
“Sesi Parlimen petang semalam terbukti mereka tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka. Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada Kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan.
“Semua yang berlaku ini menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman Kerajaan dan Pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan.
“Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang di harapkan,” katanya menerusi posting terbaru di Facebooknya.
Sehubungan itu beliau melihat adalah wajar untuk kerajaan hari ini menilai semula kerjasama yang dijalinkan dengan pembangkang dan tidak perlu menunggu sehingga Julai untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum.
“Ia secara langsung mewajarkan Kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamannya dengan PH.
“Mungkin telah tiba masanya Kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu MOU tersebut matang pada Julai ini,” katanya lagi.
Tambah beliau, kegagalan ini adaah sesuatu yang agak memalukan kerana ia merupakan satu Rang Undang-undang yang penting bagi Kementerian Dalam Negeri namun tidak diuruskan dengan baik.
“Kegagalan usul ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.
“Ia menunjukkan sikap sambil lewa, bahawa rang undang-undang sepenting ini tidak di uruskan dengan strategik sebelum di bentangkan.
“Ini agaknya, semua beranggapan bahawa sudah wujud persefahaman yang jelas antara Kerajaan dan Pembangkang dalam hal-hal atau usul-usul yang melibatkan reformasi undang-udang dan dasar khususnya seperti yang dizahirkan dalam Perkara 3 Memorandum Persefahaman antara Kerajaan dan Pembangkang,” ujarnya.
Mohamad juga menyifatkan kedudukan kerajaan ketika ini juga berdepan satu situasi yang berisiko tinggi dek kerana terlalu percaya kepada MoU dengan pembangkang namun kini memakan diri sendiri.
“Kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme Memorandum Persefahaman sebegini adalah sangat berisiko.
“Apa lagi bila Pakatan Harapan sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh di percayai dan memang dah jadi kebiasan mereka untuk memungkiri janji,” katanya.
Sesi Dewan Rakyat petang semalam menyaksikan usul Kerajaan untuk melanjutkan, antara lain, peruntukan seksyen 4(5) SOSMA 2012 telah gagal diluluskan, berdasarkan kiraan undi majoriti mudah.
Discussion about this post