Pemuda UMNO mendesak agar Kerajaan melalui Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara (AG) untuk memberikan penjelasan secara telus dan terbuka mengenai kemajuan siasatan kes yang menjadi sejarah hitam negara.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata rakyat dan keluarga mangsa berhak untuk mengetahui bagaimana siasatan yang dijalankan sebegitu lama gagal membawa suspek-suspek ke muka pengadilan.
Pemuda UMNO kembali mendesak perkara ini setelah meneliti kenyataan YB Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi baru-baru di sebuah majlis di Ampang bahawa kes penyiasatan pembunuhan Allahyarham Adib Kassim ditutup sementara.
Menurut laporan media, Ahli Parlimen Ampang itu juga berkata kes ini akan dibuka semula sekiranya wujud keterangan, maklumat dan bukti-bukti baharu dan komited untuk “terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Adib”.
“Kenyataan YB Datuk Zuraida Kamaruddin ini sekaligus mengesahkan dapatan Mahkamah Koroner pada 26 September 2019 bahawa anggota bomba itu terkorban akibat perbuatan jenayah bunuh oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali berbanding dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas terdahulu.” kata Ketua Pemuda Barisan Nasional itu melalui catatan di Facebook beliau
Tambah beliau, sudah tiba masanya juga pihak kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada Allahyarham Adib selaku WIRA NEGARA selain bayaran pampasan yang munasabah kepada pihak keluarga sebagai satu bentuk penghormatan atas jasa dan pengorbanan Allahyarham yang melaksanakan amanah negara hingga mengorbankan nyawa.
Sebagai rekod, Muhammad Adib ialah berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah semasa bertugas di pekarangan Kuil Sri Mahamariamman pada 27 Nov 2018.
Dia akhirnya menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018. Bagaimanapun punca kematiannya dipertikaikan sama ada akibat diserang atau kerana kemalangan.
Inkues yang dijalankan memutuskan – pada 27 Sept 2019 – kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Namun sehingga kini belum ada mana-mana orang ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh.
Discussion about this post