Ketua Pemuda UMNO Pulai Johor, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman AlFirdaous menegaskan kepada generasi kini parti UMNO menawarkan kestabilan politik negara untuk di masa kini dan masa hadapan.
“Saya suka mengingatkan pada kawan generasi saya UMNO ini menawarkan pertama, kestabilan politik dan kedua UMNO ini melahirkan pemimpin muda”, katanya dalam satu sesi temubual bersama media.
Beliau mengatakan, pemimpin muda yang dilahirkan UMNO akan melalui fasa yang betul dan melalui struktur yang betul untuk menjadi pemimpin yang berwibawa.
Peringkat awal pemimpin muda ini akan bermula dengan ahli pemuda cawangan, naik kepada ketua pemuda cawangan dan seterusnya akan diangkat ke peringkat bahagian.
“UMNO juga menempatkan pemimpin-pemimpin pemuda di peringkat bahagian ini bila mereka tengok bila pemimpin-pemimpin ini mempunyai kebolehan dan kepakaran akan ditempatkan di ahli majlis,” ujar Nafiq.
Nafiq berkata peringat-peringkat ini merupakan asas untuk menterjemahkan apa itu kestabilan politik yang dapat membawa satu pentadbiran ke peringkat seterusnya.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan kepada orang-orang muda yang mahu melihat kepada kestabilan, hanya kestabilan politik dapat membawa kepada satu perubahan dan UMNO adalah parti yang membawa prinsip tersebut.
“UMNO bukan sebuah parti yang dirojakkan semata-mata nak angkat pemimpin-pemimpin untuk dipaparkan dijual sebagai poster ataupun dijualkan untuk tarikan sementara,” tegas beliau.
Selain itu, UMNO juga akan mengangkat anak-anak muda dan jadikan mereka pemimpin yang benar-benar berkualiti dan bertepatan untuk menjadi pemimpin Malaysia di masa hadapan.
Discussion about this post