Perdana Menteri berkata, kestabilan politik adalah syarat utama untuk kerajaan merealisasikan segala perancangan dan pembangunan yang sudah dirancang.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apa yang dirancang pastinya tidak akan berjaya dalam keadaan politik yang tidak stabil.
“Saya bersetuju dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad bahawa di Johor, kestabilan politik adalah sangat perlu bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang dilakukan dapat direalisasikan.
“Di peringkat Persekutuan, insya-Allah dengan kerjasama semua pihak termasuk pembangkang maka kita telah berjaya mewujudkan kerajaan Pusat yang stabil ketika ini seperti yang disifatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika titah Diraja sewaktu pembukaan Parlimen baru-baru ini.
“Saya percaya di Johor juga kita memerlukan kerajaan negeri yang stabil supaya setiap perancangan oleh Menteri Besar dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat Johor.
“Saya doakan kejayaan Datuk Seri Hasni selaku Menteri Besar Johor dan kerajaan Johor,” katanya semasa melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, hari ini.
Selain Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd Sadique yang juga Menteri Peneraju Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Johor.
Discussion about this post