Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan Tasik Chini di Pahang bagi menyokong usaha mempertahankan pengiktirafan sebagai status tapak biosfera UNESCO.
Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata dasar dan hala tuju telah ditetapkan dalam memastikan pengurusan dan pembangunan sumber asli dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.
“Selaras fungsi kawal selia ini, KeTSA tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan pemeliharaan seperti Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Rizab Perlindungan mahupun kawasan yang diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
“Bagi maksud ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan-kawasan berkenaan.
“Manakala kelulusan untuk kawasan selain daripada itu tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Shamsul Anuar berkata, pihaknya berharap dengan adanya inisiatif daripada Kerajaan Pahang, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera Man and the Biosphere (MAB) dapat terus dipertahankan.
Menurutnya, pihak Sekretariat UNESCO Paris telah memberikan tempoh sehingga tahun 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini.
“Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi negara,” ujarnya lagi.
Isu pencerobohan tanah rizab kawasan Tasik Chini kembali diperkatakan sehingga mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memerintahkan aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan.
Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata perintah itu selepas baginda mengadakan lawatan mengejut di sekitar kawasan Tasik Chini, semalam.
Katanya, baginda juga meneliti laporan yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan di kawasan terbabit serta tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang dijalankan oleh kerajaan negeri.
Discussion about this post