Ketua Menteri Melaka, Datuk seri Sulaiman Ali Mmelawat lokasi banjir di Taman Bukit Beruang Bestari, salah satu lokasi kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Negeri Melaka,Semalam.
Beliau kemudiannya diberi penerangan oleh YBhg. Datuk Shadan Bin Hj. Othman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berhubung laporan terkini kejadian banjir susulan hujan lebat mulai awal pagi semalam.
Tambahnya lagi kejadian yang berlaku ini adalah fenomena alam yang tidak dapat dielak dan bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, beliau berharap agar penduduk yang terjejas supaya dapat bersabar. Pelbagai agensi kerajaan yang terlibat sudah dikerah untuk segera membantu mangsa banjir yang terjejas katanya.
Dalam pada itu Mangsa banjir di Melaka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) jam 8 pagi ini meningkat kepada 554 orang daripada 128 keluarga, berbanding 321 orang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata, secara keseluruhan tujuh PPS dibuka di tiga daerah berbanding hanya empat semalam dengan dua lagi PPS dibuka di Melaka Tengah, bagi menempatkan mangsa terjejas akibat banjir kilat, malam tadi.
“PPS di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek dibuka tengah malam tadi, selepas berlaku kenaikan air di Rumah Awam Ayer Molek di sini menyebabkan 139 mangsa daripada 37 keluarga, dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Satu lagi PPS iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim masih dalam proses pendaftaran mangsa banjir.
Seramai 185 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, 64 mangsa daripada 17 keluarga pula di PPS Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Tanjung Minyak, manakala 45 mangsa daripada 22 keluarga berada di PPS di SMK Bukit Rambai.
Dalam pada itu sebuah PPS di daerah Jasin dibuka iaitu di SJKC Shuh Yen, selepas 66 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan pada 12 tengah malam tadi.
“Di Alor Gajah, mangsa yang ditempatkan Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal kekal dengan 55 orang daripada 13 keluarga,” katanya.
Discussion about this post