Mempunyai tahap keberkesanan 95% dalam mencegah jangkitan COVID-19 dan mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya adalah menjadi sebab mengapa Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin berkata pemilihan vaksin ini juga adalah berdasarkan kepada laporan interim ujian klinikal dan ianya telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 December 2020.
Beliau yang menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahu tahutentang kos, keberkesanan dan liputan penduduk untuk vaksin Pfizer, khususnya tempoh immuniti, dan bilakah ia akan dilaksanakan serta jaminan perubatan ke atas kesan sampingan negatif agar meyakinkan rakyat menerima dua dos dengan selamat di sesi MQT pagi ini.
Dalam pada itu, tambah Khairy lagi Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Saudi Arabia, Mexico dan Singapura.
” Walau bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin tersebut di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan. “
” Proses ini telah bermula dan semua data yang dibekalkan oleh pihak Pfizer akan diteliti oleh NPRA. Bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer ini dijangka akan mula diterima pada suku pertama tahun 2021 merangkumi 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat ” katanya lagi.
Selain itu, Jelas Khairy lagi, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah ditubuhkan dimana Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YB Menteri Kesihatan serta dianggotai oleh pelbagai Kementerian dan Jabatan.
Selain vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer, Malaysia juga telah menyertai fasiliti COVAX yang menjamin akses bekalan vaksin sebanyak 10% populasi negara. JKJAV ketika ini sedang mempertimbangkan calon-calon vaksin lain yang berada di fasa 3 ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok (herd immunity) sehingga 70% jumlah populasi negara.
Pengumuman mengenai ini dan senarai keutamaan penerima vaksin akan dibuat dalam masa terdekat katanya lagi.
Discussion about this post