Isu kluster mahkamah yang sengaja dicetuskan oleh pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah isu yang sudah basi.
Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jika isu itu menarik perhatian pengundi pasti BN akan kalah ketika berlangsung PRN di Melaka.
Menurutnya, rakyat Johor kini hanya mementingkan kestabilan negeri serta ekonomi yang baik dan mahu berada dalam politik yang murni.
“Di Johor ini, rakyat mahu kestabilan, rakyat mahu kestabilan yang pernah dikecapi sebelum Covid.
“Masa Covid melanda, banyak kehidupan yang musnah. Sekarang ini rakyat mahu kerajaan yang stabil dan dipimpin oleh Menteri Besar yang berwibawa serta dibantu oleh exco dari partinya sendiri.
“Bukannya dalam keadaan sekarang, kita terpaksa berkongsi kuasa. Dekat belakang rakan-rakan kita (pembangkang) mengugut sahaja tetapi dekat luar cerita kita menyokong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Bicara Nasional bertajuk Peluang Rakyat Pilih Kerajaan Stabil.
Bicara itu dihoskan oleh Ketua Sekretariat Komunikasi BN, Datuk Adnan Seman.
Ia turut dihadiri Ketua Wanita Umno Bahagian Batu Pahat, Datin Nur Hajar Abdul Rahman.
Nur Jazlan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan bekas Perdana Menteri adalah seorang pemimpin yang gagal.
“Kalau buka internet, macam-macam isu dikaitkan dengan beliau (Muhyiddin). Jangan lepas pilihan raya nanti, siapa yang jadi kluster mahkamah pula.
“DAP pun tak bawa cerita mahkamah sangat pasal pemimpin mereka pun kluster mahkamah.
“Muda..orang Muda kata nak pemimpin yang bagus dan bersih. Ikon awakpun sekarang ini kluster mahkamah,” katanya.
Justeru, beliau meminta rakyat Johor jangan terpedaya dengan hujah daripada Bersatu yang seolah-olah tiada modal lain untuk menawan hati pengundi.
Discussion about this post