Ketua Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari dan Datuk Seri Idrus Haron diminta berhenti berlagak suci, bersih dan maksum seolah-olah di zaman mereka tiada konsesi pasir yang telah diluluskan hasil sokongan mereka.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, sebenarnya isu konsesi pasir di Melaka lebih parah ketika zaman Idris dan Adly menjadi Ketua Menteri kerana mereka telah memberi kebenaran eksklusif untuk pengeluaran pasir di kawasan Rizab Hutan Simpan Kekal di Melaka.
Menurut Lookman beliau telah kemukakan bukti siapa penyamun pasir yang sebenarnya dan telah membuat laporan polis beserta bukti senarai penerima konsesi pasir ketika zaman Adly dan Idris menjadi Ketua Menteri bagi membantu siasatan pihak polis dan SPRM.
“Kita minta pihak polis dan pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyiasat, apa imbuhan yang Idris dan Adly perolehi dengan meluluskan pengondolan Rizab Hutan Simpan Kekal itu.
“Ini fakta dan saya ada semua bukti untuk berhadapan dengan Idris yang meluluskan serta kerajaan Adly yang telah menyambung kelulusan pengeluaran pasir dalam kawasan Hutan Simpan Kekal seluas 200 hektar.
“Kawasan Rizab Hutan Simpan Kekal yang terlibat ini Adly namakan sebagai Hutan Pengeluaran bagi menghalalkan tindakannya. Adly telah memberikan kebenaran itu sehingga tahun 2025.
“Kawasan Rizab Hutan Simpan Kekal yang terlibat ini adalah kawasan yang sensitif kerana ia juga adalah kawasan tadahan air didalam daerah Jasin. Patutlah ketika zaman Adly Zahari menjadi Ketua Menteri, Negeri Melaka sering kali berdepan isu catuan air yang teruk hingga menyusahkan rakyat Melaka,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu Lokman membuat laporan polis berhubung isu konsesi pasir di Melaka selain turut menyerahkan bukti bagi membantu siasatan polis dan juga SPRM.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, lebih parah lagi, kebenaran yang telah diberikan Adly Zahari untuk pengeluaran pasir di kawasan Rizab Hutan Simpan Kekal ini pula tanpa perlu mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
“Jadi, atas sebab apa beliau begitu berani dan apa yang imbuhan yang beliau perolehi? Itu kita belum selidik lagi syarikat-syarikat yang telah diberikan kebenaran oleh Adly dan Idris untuk terlibat dengan kerja-kerja pengeluaran pasir di kawasan Rizab Hutan Simpan Kekal ini.
“Menerusi laporan polis hari ini, saya serahkan 28 nama syarikat konsesi yang terlibat seperti Jaya Sepakat Klebang Contruction, Sinar Mesra Global, Gelombang Makmur Sdn Bhd, Abra Sinar Sdn Bhd dan Perusahaan Mampro Bersatu Sdn Bhd.
“Saya minta pihak polis dan SPRM akan menyiasat semua maklumat yang kami sertakan ini supaya rakyat negeri Melaka sedar siapa Penyamun Pasir yang sebenarnya,” kata Lokman.
Discussion about this post