Koridor Tepian Pantai Melaka atau lebih dikenali sebagai Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez) bukan inisiatif baharu yang diwujudkan Kerajaan Negeri Melaka ketika pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Sebaliknya inisiatif itu sebenarnya telah lama wujud sejak pentadbiran beberapa ketua menteri sebelum ini, malah kerja-kerja menambak seluruh kawasan Melaka telah mula dilakukan sejak zaman 70-an lagi.
“Ia bukan benda baharu, benda sedia ada hanya cuma dijenamakan semula sebagai M-Wez. Kerja-kerja tambakan di seluruh Melaka telah bermula sejak zaman Datuk Setia Abdul Ghani Ali, sehingga ke hari ini.
“Kawasan itu lebih kurang 11,000 ekar yang telah diluluskan, saya ingat lebih 56 syarikat telah diberikan konsesi untuk kerja-kerja tambakan laut,” katanya.
Sulaiman yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi N04 Lendu berkata, dari 11,000 ekar kawasan, hanya 3,000 ekar sahaja telah ditambak, manakala 300 ekar pula telah dibangunkan.
“Sebelum ini, tiada perancangan rapi, tiada penyelarasan pun. Macam mana nak bina, nak tambak, sebab master plan tiada, blueprint pun tiada, sampai bila, nak tunggu lagi 10 tahun, 20 tahun, sebab itu kita terpaksa buat dasar baharu.
“Saya menjenamakan semula sebagai M-Wez, iaitu kita tubuhkan Enakmen untuk perdagangkan supaya ia boleh dilaksanakan, ada orang yang menyelaraskan.
“Sebagaimana Perbadanan Putrajaya, segala pembangunan mesti merujuk kepada PPj baru bangunan boleh dibuat dan dibina,” katanya lagi.
Discussion about this post