Kementerian Sumber Manusia menyasarkan kenaikan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam penempatan pekerjaan menerusi portal MYFuture Jobs untuk tahun ini.
Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata bagi tempoh Jun hingga Disember lalu, 161,603 individu berjaya memperoleh pekerjaan menerusi portal itu yang dilancarkan pada Jun tahun lepas.
Selain itu katanya berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, jumlah rakyat Malaysia yang bekerja meningkat 1.5 peratus kepada 15.22 juta pada Disember lalu berbanding 14.99 juta pada Jun.
“Ini membuktikan usaha-usaha kerajaan dalam membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 membuahkan hasil,” katanya pada majlis perasmian Karnival Penjana Kerjaya Kebangsaan 2021 dan pelancaran portal MYFutureJobs secara maya hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Katanya antara usaha yang dilaksanakan kerajaan ialah PenjanaKerjaya 1.0 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilaksanakan bermula Jun tahun lepas.
‘’Kejayaan PenjanaKerjaya 1.0 membawa kepada kesinambungan program berkenaan pada tahun ini apabila pada Belanjawan 2021, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan PenjanaKerjaya 2.0 dengan penambahbaikan dalam kategori pekerja dan kadar insentif.
‘’Penjana Kerjaya 2.0 juga telah meluaskan jangkauan bantuan dan insentif kepada majikan dan pekerja yang mana ia meliputi majikan yang mengambil perantis, pekerja tempatan, golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya dan peserta Program ‘Return to Work’ Perkeso serta pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing,’’ katanya.
Tambahnya, karnival Penjana Kerjaya yang berlangsung tiga hari bermula semalam, telah disertai 78 syarikat termasuk syarikat multinasional dengan lebih 10,800 jawatan ditawarkan, dan setakat ini 4,188 individu telah mendaftar untuk mendapatkan pekerjaan.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata setakat 15 Feb lepas, sebanyak RM337.3 juta telah diperuntukkan menerusi program PenjanaKerjaya 1.0 yang memanfaatkan 14,904 majikan serta menyediakan 113,074 peluang pekerjaan.
Katanya, bagi Penjana Kerjaya 2.0 pula, lebih RM3.9 juta telah dibayar kepada 1,073 majikan dan 3,651 pekerja.
‘’Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga hari ini turut melancarkan satu inisiatif bersepadu bersama syarikat swasta dan industri yang berteraskan konsep kerjasama erat yang dinamakan #TogetherWeStand,” katanya.
— BERNAMA
Discussion about this post