KAMI mohon maaf, kata penganjur program yang didakwa gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, semalam.
Pengerusi Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah, Mohd Zainuddin Amran berkata, pihaknya mengakui kelemahan itu, namun menjelaskan ia hanya berlaku dalam tempoh yang singkat.
“Memang menteri sudah menyatakan kena pastikan pergerakan dan penjarakan, tetapi apa boleh buat, netizen lebih cenderung untuk mencari kesalahan yang sedikit. Namun saya sebagai pengerusi penyelaras ingin merakamkan rasa duka cita.
“Program yang diadakan semalam sudah disalahertikan seolah-olah kami sengaja mengadakan majlis tanpa mengambil kira SOP. Kami sudah mengikut segala SOP, dengan mengadakan pendaftaran secara terbuka kepada mereka yang hadir.
“Kami juga sudah mengingatkan kepada semua pekebun terbabit, memberikan kerjasama. Malangnya dalam detik yang begitu ringkas semalam, selepas kita menghadiri majlis yang dihadiri menteri dalam keadaan panas terik kita jemput menteri minum sebentar,” katanya menerusi satu video yang dikongsi di akaun Facebook beliau, hari ini.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan, Annuar mengakui penganjur program yang dihadirinya tidak mematuhi SOP.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Ketereh itu memohon maaf kerana hanya duduk sekejap dan kemudian berpindah kerana penganjur tidak mengikut SOP.
“Tadi semasa di ladang, saya duduk sekejap dan pindah kerana penganjur tak ikut SOP. Bukan tak sudi atau tak hargai tuan rumah, tetapi perlu ikut SOP. Saya pohon maaf, diharap tiada yang tersinggung.
“Walau bagaimanapun, saya teruja dengan kegigihan komuniti jayakan Urban Farm kita. Hidangan di ladang nampak dalam gambar macam dalam restoran, walau di farm dan outdoor, elok amalkan penjarakan,” katanya.
Discussion about this post